fbpx

8 Mei 2021, 8:21 am

  TERKINI

Alvin Goh, adik didakwa terima RM2.14 juta hasil aktiviti haram

Goh Leong Yeong (tengah) tiba di kompleks mahkamah atas dakwaan membenarkan imigran larangan berada di premis miliknya serta menjalankan aktiviti jenayah berkaitan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Goh Leong Yeong atau lebih dikenali sebagai Alvin Goh dan adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.14 juta.

Alvin Goh, 32, yang dikaitkan dengan kes Macau Scam dan judi dalam talian pernah menjadi buruan polis selepas meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, sebelum ditahan pukul 1.30 pagi, 11
Oktober tahun lalu.

Tertuduh pertama dan adiknya, Goh Yeong Hui, 28, merupakan Pengarah Malaysia House of Internet Sdn. Bhd. meminta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mereka didakwa menerima wang berkenaan daripada dua lelaki warganegara China menggunakan akaun Public Bank milik syarikat mereka yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Wang-wang terlibat ialah di antara RM92,800 dan RM840,000.

Dua beradik itu didakwa melakukan perbuatan itu di antara 9 September dan 7 November 2019 di Public Bank Berhad, Jalan Bukit Bintang di sini.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Subsekyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta yang sama.

Hukuman bagi subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada jumlah atau hasil daripada aktiviti haram jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt mencadangkan jumlah jaminan RM300,000 untuk setiap seorang tertuduh bagi kesemua pertuduhan.

Menurut Keng Fatt, jumlah yang dicadangkan itu munasabah kerana kes itu adalah serius manakala tertuduh pertama (Alvin Goh) pernah mempunyai rekod melarikan diri dan pihak berkuasa terpaksa mengambil masa selama beberapa minggu untuk menangkapnya semula.

Bagaimanapun peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan RM30,000 kerana ia adalah tahap kemampuan tertuduh dan keluarga.

Sementara itu, Alvin Goh ketika memohon peluang bercakap untuk mengurangkan jaminan memberitahu, perniagaannya terjejas teruk manakala wangnya mencecah RM400,000 dibekukan ketika siasatan dijalankan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Sabariah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 bagi setiap seorang dan menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan kes dan penyerahan dokumen.

Kedua-dua tertuduh turut diperintah melapor diri di balai berdekatan setiap awal bulan.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Alvin Goh kekal dalam tahanan di bawahAkta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak permohonan yang dikemukakan Alvin Goh selaku pemohon supaya dibebaskan serta-merta dari tahanan di bawah akta itu. -UTUSAN ONLINE