Akibat kesilapan azan, kariah Masjid Al-Khairiyah kena ganti puasa - Utusan Malaysia

Akibat kesilapan azan, kariah Masjid Al-Khairiyah kena ganti puasa

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akibat kesilapan Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak kerana melaungkan azan Maghrib tiga minit lebih awal dari waktu sebenar, ibadah puasa kariah sekitar terbatal dan wajib menggantikan puasa masing-masing.

Nazir Masjid Al-Khairiyah, Wan Nawawi Wan Dagang berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu apabila azan dilaungkan sebelum masuk waktu sebenar kerana masalah teknikal paparan digital waktu azan masjid.

“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu digantikan atau diqada.

“Saya mewakili seluruh pentadbir memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin bersamaan 7 Ramadan 1442 pada 19 April 2021 disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hujah menggantikan puasa berkenaan mengambil kira pandangan jumhur ulama Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama Hanbali yang menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.

“Para jemaah boleh ikuti syarah hukum melalui siri Bayan Linnas Siri Ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017.

“Sekali lagi kami mohon maaf dan Insya Allah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Kesilapan melaungkan azan Maghrib berbuka puasa bukan satu perkara baharu apabila kejadian sama pernah berlaku di sebuah stesen radio negeri pantai timur kerana memutarkan lima minit lebih daripada waktu sebenar pada 2017.

Malah situasi sama pernah berlaku di sebuah program syarikat korporat di ibu negara sekitar 2018 apabila pengacara majlis membuat pengumuman seminit awal daripada waktu asal.

Memetik syarah Bayan Linnas tulisan Mufti Wilayah Wilayah Persekutuan pada ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri) menyatakan bahawa isu tersalah azan maghrib sebelum masuk waktu adalah lebih cenderung kepada batal puasa.

Justeru, wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah qada puasa itu berdasarkan beberapa hujah.

“Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

“Justeru, kami berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku,” jelas beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya