GEORGETOWN: Kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data golongan yang menolak vaksin Covid-19 bagi memudahkan urusan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS), Dr. Pramjit Singh berkata, ini kerana selain mengetahui bilangan mereka yang mahu menerima vaksin Covid-19, jumlah mereka yang menolak vaksin berkenaan juga perlu diambil kira.
“Dengan adanya data mereka yang menolak vaksin, kerajaan boleh tahu sama ada kita akan berjaya atau tidak mencapai imuniti kelompok bagi mengekang penularan wabak ini.
“Ini kerana pada masa ini wujud golongan antivaksin di negara ini dan menjadi keperluan untuk kerajaan tahu berapa jumlah sebenar mereka serta mencari jalan untuk atasi penolakan vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Menurut Pramjit, kerajaan juga perlu menjalankan kempen secara berterusan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi memastikan matlamat kerajaan mewujudkan imuniti kompleks bagi mengekang penularan wabak itu berjaya.
“Pada masa ini masih ramai yang bersikap tunggu dan lihat kerana fasa kedua pemberian vaksin Covid-19 akan bermula April.
“Jadi kempen untuk menggalakkan orang ramai menerima vaksin perlu dijalankan secara berterusan supaya mereka tidak ragu-ragu menerima vaksin berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Pramjit berkata, langkah kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin dengan dana permulaan RM10 juta bagi tujuan pampasan juga dapat membantu meningkatkan keyakinan orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
“Sebenarnya tanpa pampasan pun, rakyat perlu mengambil vaksin Covid-19 kerana dapat membantu mengelakkan penularan wabak ini di dalam negara.
“Kita boleh hidup dalam keadaan normal tanpa wabak Covid-19 hanya apabila lebih 85 peratus rakyat telah divaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










