Wanita penggerak masyarakat, negara - Utusan Malaysia

Wanita penggerak masyarakat, negara

MUHAMMAD Zahir Abdul Khalid berucap pada Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peranan yang dimainkan golongan wanita berkerjaya dalam sektor pekerjaan dan keusahawanan perlu diiktiraf serta disokong sebagai satu bentuk sumbangan kepada masyarakat dan negara.

Begitu juga sumbangan wanita dalam komuniti yang menjadi penggerak selain terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid berkata, ini kerana sumbangan wanita sama pentingnya dengan golongan lelaki apatah lagi dalam mendepani era yang mencabar ketika ini.

Menurut beliau, pada masa sama lebih banyak aktiviti dan inisiatif digerakkan demi membangunkan bakat dan kebolehan golongan wanita.

“Adalah penting bagi kita semua mengiktiraf, menyokong dan meraikan wanita bekerja, wanita dalam perniagaan dan wanita dalam komuniti.

“Seperti yang dapat kita lihat, lebih ramai wanita yang mempelopori bidang-bidang perniagaan, komuniti dan juga telah ramai pemimpin-pemimpin kita yang terdiri daripada wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh di sini hari ini.

Seminar berkenaan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Junior Chamber International (JCI) Ipoh yang dihadiri kira-kira 150 peserta.

Hadir sama ialah Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin; Penasihat Projek, Dr. Carrine Teoh dan President Junior Chamber International (JCI) Ipoh, Carson Chong.

Sementara itu, Rumaizi memberitahu, seminar itu yang bertemakan ‘Kepimpinan Wanita : Mencapai Masa Depan Setara dalam Dunia Covid 19’ adalah sejajar dengan tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Katanya, penganjurannya juga bertujuan untuk mengiktiraf dan menyokong peranan wanita dalam masyarakat khususnya di bandar raya Ipoh dan negeri Perak.

“Dalam dunia berhadapan wabak Covid-19 ini, peranan dan kepentingan sumbangan wanita sangat besar kerana mereka juga bertindak sebagai barisan hadapan termasuk golongan suri rumah,” ujarnya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya