fbpx

Vaksin satu dos, CanSino untuk Orang Asli

NOOR Azmi Ghazali (tengah) menyerahkan cek replika kepada Persatuan Veteran ATM Cawangan Bagan Serai di di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

BAGAN SERAI: Kerajaan bercadang untuk menggunakan vaksin satu dos iaitu CanSino dari Cina dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk Orang Asli dan penduduk di kawasan pedalaman.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan memahami masalah rakyat di kawasan pedalaman termasuk Orang Asli yang mungkin menghadapi masalah sekiranya mereka terpaksa mengambil dua dos vaksin disebabkan jarak perjalanan yang jauh.

“Kerajaan berfikir dan mencari jalan penyelesaian bagi memudahkan golongan ini dan bercadang untuk menggunakan vaksin CanSino dengan pengambilan suntikan hanya satu dos sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-21 Persatuan Veteran ATM Cawangan Bagan Serai di Dewan Komuniti di sini hari ini.

Menurut Noor Azmi, pada ketika ini vaksin Pfitzer dan Sinovac digunakan dalam pemberian vaksin di bawah PICK yang memerlukan dua dos suntikan bagi melengkapkan imunisasi.

Beliau berkata, suntikan pertama vaksin itu meningkatkan antibodi dari 40 hingga 50 peratus manakala dos suntikan kedua akan melonjakkan antibodi ke tahap 95 peratus.

“Suntikan vaksin fasa kedua akan bermula pada bulan April ini, namun, tarikh rasmi masih belum diputuskan lagi dan bergantung pada keadaan semasa.

“Sehingga kini, kita telah mencapai hampir 500,000 orang petugas barisan hadapan yang telah menerima suntikan vaksin pada fasa pertama.

“Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan vaksin mencukupi dan tiap-tiap minggu kita menerima bekalan,” katanya

Ditanya sama ada petugas media akan turut diberi suntikan vaksin secara berfasa, Noor Azmi berkata, KKM mempunyai Jawatankuasa khas untuk menilai tahap risiko jangkitan Covid-19 terhadap golongan tertentu seperti petugas media.

“Barisan hadapan ada banyak kategori dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berhadapan dengan para pesakit Covid sebelum disusuli yang lain termasuk wakil rakyat dan juga petugas media.

“Jawatankuasa ini akan menilai terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN