KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Muadzam Shah tidak akan ditutup meskipun terdapat masalah kekurangan pelajar di universiti berkenaan.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak universiti akan berusaha meningkatkan jumlah pelajar di universiti itu yang boleh menempatkan kira-kira 4,000 orang penuntut.
“Saya sudah jelaskan TNB membuat keputusan dalam mesyuarat lembaga pengarah bahawa Kampus Muadzam Shah tidak akan ditutup.
“Cuma kita hendak tingkatkan penuntut di situ yang mana pada masa ini ada kira-kira 1,400 orang,” katanya pada Program Ceria Ke Sekolah TNB di sini hari ini.
Seramai 2,200 pelajar sekolah rendah di seluruh negeri menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM220,000.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.










