IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar sikap pembangkang kerana menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung penangguhan pelaksanaan pendaftaran automatik dan Undi 18 tahun (Undi18).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembangkang sengaja menuding jari kepada kerajaan sedangkan mereka bukan benar-benar memperjuangkan pelaksanaan Undi18.
“Hujan atau ribut pun, jika mereka mahu salahkan kerajaan, mereka tetap akan salahkan kerajaan juga.
“Dalam perkara ini, hati mereka bukan 100 peratus bersetuju dengan Undi18, bukannya mereka memperjuangkan sangat perkara itu tetapi apabila tidak dapat diadakan atau tidak sempat diadakan, mereka pula mahu salahkan pihak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Derma Darah Perak Foodbank di Dewan Dato’ Ahmad Said di Kampung Sungai Rokam di sini hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sebagai pendukung kerajaan, parti itu sudah pasti mahu melihat anak-anak muda berusia 18 tahun ke atas terlibat dalam memilih wakil rakyat dan kerajaan.
Bagaimanapun katanya, sekiranya hasrat itu tidak sempat direalisaikan, semua pihak harus berlapang dada dan menerima keputusan berkenaan.
“Saya tidak pasti atas alasan apa Undi18 tidak dapat diadakan, namun, jika ia tidak sempat diadakan, kita perlu reda dan perjuangan ini tidak akan terhenti di sini,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, penangguhan Undi18 dilihat tidak memberi kesan ketara kepada landskap politik negara.
Katanya, perkembangan politik ketika ini bukan diukur daripada aspek umur dan gender semata-mata, sebaliknya ada faktor lain yang lebih mempengaruhi termasuk bangsa.
“Bukan semua yang berusia 21 tahun ke atas cukup bijak untuk memilih masa depan mereka sendiri. Ramai juga dalam kalangan mereka yang cukup matang tetapi membuat keputusan salah untuk diri sendiri.
“Begitu juga bagi mereka yang berusia 18 tahun ke atas, ramai yang cukup matang dan faham apakah keperluan untuk diri mereka dan negara dalam memilih wakil untuk tubuhkan kerajaan,” katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan bahawa Undi18 dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR. – UTUSAN ONLINE










