UMNO yakin dapat tawan kerusi Parlimen Larut - Utusan Malaysia

UMNO yakin dapat tawan kerusi Parlimen Larut

Muhammad Amin Zakaria
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UMNO Larut yakin dapat menawan kerusi Parlimen Larut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) daripada penyandangnya yang juga bekas Ketua UMNO bahagian berkenaan yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Larut, Datuk Muhammad Amin Zakaria berkata, ini berdasarkan kekuatan sokongan ahli dan pengundi di bahagian itu yang tetap setia dan terus bersama UMNO.

Menurutnya, tindakan Hamzah yang menyertai Bersatu tidak menjejaskan keutuhan dan perpaduan ahli UMNO bahagian itu.

“Selepas beliau meninggalkan UMNO, majoriti ahli UMNO bahagian tak berubah, walaupun ketua bahagian melompat, tak ramai yang mengikutnya.

“Kalau ada yang melompat pun ia tidak menjejaskan UMNO, lebih ramai yang setia bersama UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Muhammad Amin, selain daripada kesetiaan ahli, pengundi di Larut juga tetap menyokong UMNO kerana parti itu sentiasa menunjukkan keikhlasan, kesungguhan untuk membantu rakyat.

“UMNO terus memberikan bantuan kepada rakyat. Semasa hilang kuasa selama 22 bulan, rakyat merasai keperitan apabila hilang segala kemudahan dan bantuan, namun dalam keadaan itu pun UMNO masih memberikan bantuan apatah lagi sekarang setelah berada dalam kerajaan.

“Jadi rakyat nampak dengan jelas betapa UMNO ada keikhlasan, kesungguhan dan semangat untuk membantu mereka,” katanya.

Mengenai reaksi ahli dan pengundi terhadap tindakan Hamzah meninggalkan UMNO, Muhammad Amin berkata, sudah tentu perkara itu menimbulkan rasa marah bukan sahaja di Larut tetapi di mana-mana juga kerusi yang penyandangnya daripada UMNO tetapi wakil rakyatnya melompat ke parti lain.

Menurutnya, dari situ beliau melihat kecenderungan untuk pengundi membalas perbuatan mereka yang melompat parti dalam PRU-15, bukan sahaja di bahagian Larut tetapi juga di peringkat nasional. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN