UMNO Kelantan 'ajar' Bersatu cara berpolitik matang - Utusan Malaysia

UMNO Kelantan ‘ajar’ Bersatu cara berpolitik matang

NOOR HARIRI MOHAMED NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Memutuskan hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini merupakan salah satu langkah UMNO Kelantan untuk mengajar parti itu berpolitik cara matang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, Bersatu tidak layak bercakap soal kematangan, apatah lagi menggelar UMNO tidak matang kerana mereka sendiri baru ‘lahir’ dalam politik.

Malah katanya, tuduhan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan kononnya UMNO lebih ghairah berpolitik berbanding berusaha melawan pandemik Covid-19 diibaratkan seperti mengata diri sendiri.

“Siapa yang lebih ghairah berpolitik sebenarnya? Bukankah anda yang sedang giat membeli ahli Parlimen pada waktu darurat ini? Bukankah anda juga yang memberi sejuta alasan pelik untuk mengelak diadakan sidang Parlimen?

“Anda sendiri yang menghalang proses demokrasi untuk suara rakyat didengar dalam Parlimen dengan memberi pelbagai alasan yang dangkal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu dalam mesyuarat perhubungan Selasa lalu, UMNO Kelantan memutuskan hubungan dengan Bersatu dan mendesak Pas membuat pilihan sehingga digelar tidak matang oleh Ketua Armada Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab. Aziz.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, tiada apa yang salah tentang kenyataan UMNO Kelantan yang hanya inginkan kepastian daripada Pas selepas rakan sekutunya itu ‘diculik’ Bersatu.

“Kami ingin mengajar Armada Kelantan, cara berpolitik matang adalah berlapang dada dalam apa jua keputusan. Jangan bicara soal perjuangan kalau anda sendiri pun bercakap penuh momokan tidak seperti tindakan.

“Nasihat saya pada Ketua Armada Kelantan, usah peduli parti orang. Jaga molek-molek parti sendiri. Cari kekuatan sendiri dan jangan curi ahli parti orang ikut pintu belakang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×