fbpx

Tipu ‘MC’, 3 pekerja kilang dipenjara 5 hari, denda

SERAMAI enam pekerja kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas dakwaan memalsukan sijil sakit antara Oktober tahun lalu hingga Februari lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN

BUKIT MERTAJAM: Seramai tiga pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memalsukan sijil sakit sekitar Oktober tahun lalu hingga Februari lalu.

Tertuduh, Muhamad Zulhakimi Masdi, 23; Mohamad Hafizi Zainuddin, 29, dan Muhammad Amir Md. Ishak, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan dua Majistret berbeza iaitu B. Sri Pracha Nanthini dan Mohd. Zaki Abd. Rahman.

Selain itu, kesemua mereka turut dikenakan denda atas kesalahan sama dengan Muhamad Zulhakimi didenda RM3,500 manakala Mohamad Hafizi dan Muhammad Amir masing-masing RM2,700.

Hukuman penjara terhadap Mohamad Hafizi Zainuddin dan Muhammad Amir bermula dari tarikh mereka ditahan manakala hukuman penjara Muhamad Zulhakimi bermula hari ini.

Sementara itu, tiga lagi wanita iaitu Marsya Fatini Mohd. Rani, 20; Nur Farah Amira Alisham, 21, dan Nurul Izzah Abdul Razak, 21, mengaku tidak bersalah atas dakwaan sama selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Sri Pracha Nanthini dan Mohd. Zaki.

Mereka masing-masing dihadapkan dengan satu pertuduhan kecuali Marsya Fatini didakwa dengan dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan curang didakwa menggunakan dokumen tulen iaitu sijil cuti sakit yang mana mempunyai sebab untuk dipercayai adalah palsu.

Sijil berkenaan tertera tarikh berbeza di antara 26 Oktober tahun lalu sehingga 26 Februari tahun ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn. Bhd. di dalam daerah Seberang Perai Tengah di sini sekitar 27 Oktober tahun lalu sehingga 27 Februari lalu kira-kira pukul 9 pagi.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim dan M. Kalaivaanan manakala kesemua tertuduh masing-masing diwakili peguam.

Marsya Fatini dan Nur Farah Amira dibenar diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin manakala Nurul Izzah dibenar diikat jamin RM5,000.

Kes akan disebut semula pada 3 Mei ini bagi serahan dokumen.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received