Tiga beranak hanya mandi air parit - Utusan Malaysia

Tiga beranak hanya mandi air parit

RADZIAH Bohari (empat dari kanan) menerima sumbangan daripada Pengarah SPAN Wilayah Selatan, Padhil Abd. Hadi (tiga dari kiri) ketika melawat keluarga tersebut di rumah mereka di Kampung Parit Sulaiman, Telok Kerang. Pemberita: MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “Sebelum ini kami tiga beranak hanya mandi menggunakan air parit sehingga menyebabkan badan kami mengelupas dan gatal kerana air tersebut tidak bersih,” kata Dulmedan Misman.

Bapa berusia 57 tahun itu berkata, dia tiada pilihan lain kerana kesempitan hidup yang dialami menyukarkan dirinya membuat sambungan bekalan air bersih ke pondok tempat tinggalnya sejak beberapa tahun lalu.

Dulmedan yang bergantung bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan berkata, untuk tujuan minuman dan masak pula, dia menadah botol minuman di mesin jualan air yang terletak di premis kedai berhampiran tempat tinggal mereka.

“Disebabkan masalah kesihatan termasuk penyakit buah pinggang dan saraf, saya tidak mampu melakukan kerja-kerja berat sebaliknya hanya berupaya mengutip besi-besi buruk untuk dijual sahaja.

“Isteri, Razdiah Bohari akan membantu mengetuk besi-besi tersebut untuk dijual di kedai barangan lusuh dengan memperoleh pendapatan antara RM10 hingga RM30,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Sulaiman, Telok Kerang, di sini, semalam.

Menurut Dulmedan, kediaman yang diduduki mereka bersama seorang anak, Siti Aisyah, 6, ketika ini juga merupakan sebuah pondok peninggalan rumah keluarga yang terbakar pada 2015.

“Saya pernah ditawarkan rumah di bawah Program Pembangunan Keluarga Miskin pada tahun 2010 tetapi disebabkan masalah perceraian dan berada di hospital selama enam bulan projek itu telah dibatalkan kerana saya tidak dapat dikesan oleh pihak-pihak berkenaan ketika itu.

“Jadi, saya amat berharap agar mendapat semula bantuan bagi membina rumah yang lebih selesa dan jika berpeluang boleh memasang bekalan elektrik berbanding ketika ini hanya menggunakan generator,” katanya.

Sementara itu, nasib malang keluarga itu mendapat perhatian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Selatan dengan kerjasama Ranhill SAJ Pontian dan Yeo Plumber yang akan membekalkan air bersih percuma.

Pengarah SPAN Wilayah Selatan, Padhil Abd. Hadi berkata, kos penyambungan bekalan air bersih sebanyak RM5,000 itu merupakan program tanggungjawab sosial koporat (CSR) mereka bagi membantu keluarga Dulmedan.

Orang ramai yang bersimpati untuk membantu keluarga itu pula boleh menghubungi Dulmedan di talian 017-250 2946 atau menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0112241000030337. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.