Tawaran kemasukan tingkatan 1, 4 MRSM boleh mula disemak 10 Mac 2021. - Utusan Malaysia

Tawaran kemasukan tingkatan 1, 4 MRSM boleh mula disemak 10 Mac 2021.

Datuk Azizah Mohd. Dun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memaklumkan tawaran kemasukan ke tingkatan 1 dan 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2021 kini boleh mula disemak secara berperingkat bermula pada 10 Mac 2021.

Kemasukan ke MRSM pada tahun ini mengambil  kira dua kriteria iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kecemerlangan  Kemasukan ke MRSM (UKKM) atau Ujian Khas Ulul Albab dan merit  Status Sosio Ekonomi (SES) keluarga. 

Calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi  menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah  didaftarkan semasa permohonan.

Pemohon juga boleh membuat  semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon  atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan  menerusi pautan sistem mymrsm dalam portal MARA.

Sekiranya calon  tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh 7 hari,  tawaran kepada calon berkenaan dianggap terbatal. 

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, permohonan rayuan ke MRSM akan mula dibuka pada 7 April 2021  sehingga 30 Mei 2021 secara atas talian.

Katanya, pemohon tidak perlu  menghantar sebarang permohonan secara fizikal kerana proses  rayuan dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.  

“MARA  masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan  adalah daripada golongan berpendapatan rendah atau B40.  Keutamaan juga diberikan kepada pelajar luar bandar dan miskin  bandar.” 

“Bagi memastikan pelajar B40 ini dapat  meneruskan pengajian di MRSM, Mara akan meneruskan program Budi Mara. Pelajar B40 yang mengikuti pengajian di MRSM tidak  perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah  program Budi Mara. Pelajar terpilih akan diberi bantuan berbentuk  wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan,  pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama,  peralatan persekolahan dan sebagainya. Melalui pendekatan ini akan  memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dari kalangan B40  untuk mengikuti pengajian di MRSM,” katanya. 

Pada tahun ini, dua buah MRSM baharu juga akan mula beroperasi  iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak yang  dijangka beroperasi pada awal Jun 2021 bagi memberi peluang pendidikan yang lebih besar kepada masyarakat.

Pada tahun ini, MRSM menerima 102,329 ribu permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1  dan 4. Kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 seramai 7,783 orang  pelajar manakala bagi Tingkatan 4 pula adalah seramai 2,426 orang pelajar. Pelajar MRSM sedia ada kini berjumlah 28,087 orang pelajar  setakat Februari 2021 di 53 buah MRSM. 

MRSM menawarkan 6 program iaitu MRSM International General  Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International  Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab,  MRSM Program Khas Pendidikan (PKP), MRSM Premier dan MRSM  Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya