Star Pisces belayar semula 13 Mei - Utusan Malaysia

Star Pisces belayar semula 13 Mei

Kapal persiaran Star Pisces akan memulakan semula perkhidmatan mulai 13 Mei ini melibatkan destinasi Pulau Pinang-Pulau Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri mulai 13 Mei ini, Genting Cruise Lines dan Penang Port Sdn. Bhd. akan melancarkan  semula perkhidmatan dan operasi kapal persiaran Star Pisces melibatkan destinasi Pulau Pinang-Pulau Langkawi. 

Itinerari-itinerari yang disediakan termasuk pelayaran 2-malam Langkawi Escape dan pelayaran 1-malam Straits of Malacca yang akan bertolak dari Pulau Pinang. 

Dengan pelancaran semula tersebut, kapal dimiliki Star Cruises dengan muatan 40,053 tan dan kapasiti 1,600 penumpang itu bakal menjadi kapal persiaran pertama beroperasi semula di negara ini seterusnya membantu perkembangan sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

Naib Presiden Jualan, Genting Cruise Lines di Malaysia, Cynthia Lee berkata, perkhidmatan dan operasi semula Star Pisces akan dapat menghidupkan semula sektor ekonomi dan membantu agen-agen pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya, ia sekali gus dapat membantu menyediakan lebih peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Operasi semula kapal persiaran ini juga akan dapat memulihkan seluruh rantai bekalan berkaitan seperti barangan keperluan, perkhidmatan dan bahan-bahan berkaitan operasi pelayaran. 

“Ini adalah sejajar dengan prinsip panduan Genting Cruise Lines untuk menyokong dan membangunkan semula ekonomi sektor pelayaran di setiap pelabuhan yang Genting Cruise Lines memulakan semula operasinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, percutian alternatif sebegini adalah yang dinanti-nantikan memandangkan melancong ke luar negara masih belum dibenarkan pada masa ini. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd., Datuk V. Sasedharan memberitahu, perkhidmatan pelayaran merupakan tonggak pembangunan di Pulau Pinang sejak dahulu lagi dan merupakan keunikan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pandemik Covid-19 telah menjejaskan pembangunan sektor pelancongan domestik dan adalah penting untuk pihaknya memberikan sokongan kepada Genting Cruise Lines.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Genting Cruise Lines untuk melancarkan semula operasinya dengan percutian pelayaran yang selamat tanpa mengabaikan faktor keselamatan dan kualiti perkhidmatan.

“Kami berharap kerjasama antara dua pihak ini dapat mewujudkan satu piawaian kualiti yang lebih tinggi untuk sektor perkhidmatan pelayaran dan merangsang kembali industri pelancongan domestik,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya