'Sesiapa sahaja boleh dihukum' langgar ketetapan MKT - Utusan Malaysia

‘Sesiapa sahaja boleh dihukum’ langgar ketetapan MKT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pemimpin UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh dihukum dan dikenakan tindakan sewajarnya jika ada bukti penglibatan mereka melakukan rundingan kerjsama dengan DAP-PKR-Pakatan Harapan (PH).

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr. Abd. Rahman Bakri berkata, perkara itu jelas dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam iaitu tindakan disiplin akan dikenakan jika terdapat ahli dan pemimpin UMNO menjalinkan kerjasama tersebut.

Jelas beliau, kepimpinan tertinggi parti melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan parti-parti itu, apatah lagi ia jelas melanggar dasar parti yang menetapkan ‘No DAP, No Anwar’.

“Jadi ingkar keputusan MKT, kena ambil tindakan. (Tindakan ini) termasuk ahli MKT serta Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan MKT sebab mereka buat keputusan itu, maka dia juga boleh diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) menyatakan UMNO boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpinnya yang bekerjasama dengan PKR atau DAP.

Sebelum itu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Abd. Rahman berpendapat, jika Ismail Sabri bercakap mewakili MKT, maka beliau perlu mengambil kira keputusan majlis itu yang turut memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Oleh itu katanya, tindakan disiplin juga perlu dikenakan terhadap mana-mana pemimpin yang bekerjasama dengan Bersatu sebagaimana diputuskan MKT.

“Kalau nak ambil tindakan, mana-mana pemimpin bekerjasama dengan DAP dan PKR, jadi perlu tambah klausa Bersatu sebab Bersatu juga MKT dah putuskan tidak bekerjasama.

“Jadi sebarang kerjasama dengan Bersatu kena tindakan disiplin tidak kira apa saja jawatan di peringkat tertinggi atau bahagian. Namun, jangan pula dikenakan tindakan di peringkat bawah sahaja sedangkan yang di atas tak kena,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN