Sedia salur dana Pemerkasa bantu pihak terkesan - Utusan Malaysia

Sedia salur dana Pemerkasa bantu pihak terkesan

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersedia menyalurkan dana Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) kepada golongan sasar yang terkesan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya malah menyambut baik inisiatif dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam.

Pemerkasa dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20 bilion itu turut memberi lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun ini.

“Kementerian ini amat komited bagi memastikan inisiatif ini dapat dinikmati segera oleh usahawan yang disasarkan agar aktiviti perniagaan mereka dapat dipulihkan kesan daripada kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Wan Junaidi berkata, kementeriannya mengenal pasti dan menyokong pemberian insentif berkaitan usahawan dan koperasi di seluruh negara.

Antaranya, Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 dengan setiap perusahaan mikro dan kecil dan sederhana yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000 dan dijangka memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

“Juga dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit,” kata beliau.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ujar Wan Junaidi, bakal menyediakan insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan dengan permohonan akan dipermudah dan proses kelulusan dipercepat.

Turut diberi ialah kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah RM50 juta dari Tabung Modal Pusingan SKM akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

“SME Bank akan menyediakan dana pinjaman RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin” katanya.

Pemerkasaan usahawan wanita melalui Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, dana RM30 juta turut ditawar untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian.

Sebagai tambahan, katanya, BSN akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro Pemerkasa-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

Begitu juga, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan secara dalam talian kepada 2,000 orang.

“Saya yakin dengan pengumuman ini diharapkan agar usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya