Remaja perempuan Melayu paling tinggi jadi mangsa buli siber - Utusan Malaysia

Remaja perempuan Melayu paling tinggi jadi mangsa buli siber

FAHAMI ASHROF BADARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gejala buli siber di negara ini sebenarnya sudah mencapai tahap parah dengan remaja perempuan Melayu dikesan paling tinggi menjadi mangsa penderaan mental tersebut.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Majlis Belia Malaysia (MBM), Fahami Ashrof Badaruddin memandang serius beberapa insiden perbuatan buli maya berlaku dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia turut mendedahkan, kajian pernah dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), baru-baru ini.

“Laporan badan pemikir di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu mendapati 67.5 peratus responden Melayu mengadu pengalaman dibuli dalam laman maya,” katanya di sini semalam.

Angka tersebut mengatasi Bumiputera Sarawak dengan 63.6 peratus, India (52.6 peratus), Cina (51.4 peratus) dan etnik paling kurang dibuli siber, Bumiputera Sabah (48.1 peratus).

Beliau mengulas hasrat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu menggubal Akta Antibuli Siber.

Fahami Ashrof berkata, gejala itu bukan sekadar reaksi berkala tetapi berdasarkan pemerhatiannya, ia telah ‘berakar’ dan menjadi budaya terutama kalangan remaja kini.

“Ada beberapa alasan oleh pakar psikologi tentang situasi ini antaranya penyakit psikiatri seperti kemurungan, tekanan emosi akibat isu peribadi, tempat kerja dan lain-lain,” kata beliau.

Jelasnya, kesempatan terbuka di ruang digital dan dorongan kesedaran personal autonomi sering menjadi medan khalayak mengambil peluang menaburkan kejian secara maya.

Beliau juga merujuk kajian pasukan tujuh penyelidik IYRES yang membongkarkan 57.2 peratus mangsa adlaah perempuan dan ia mungkin disebabkan gender tersebut aktif di media sosial.

Senario tidak sihat itu, katanya, hanya mencerminkan betapa merosotnya kesantunan, etika dan adab warganet tempatan berinteraksi di alam maya lebih dahsyat berbanding alam realiti.

“Kita menyeru ahli, pimpinan dan belia secara massa di luar untuk gembleng tenaga menciptakan budaya baharu perbezaan pendapat dan wacana di ruang media siber.

“Jauhi perkataan yang boleh menggores fabrik sosial negara. Jika kita tidak mampu menjernihkan, usah sekali mengeruhkan keadaan mengundang ketegangan netizen,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya