Pusat Sukan USIM jadi lokasi penanaman nanas MD2 - Utusan Malaysia

Pusat Sukan USIM jadi lokasi penanaman nanas MD2

NUR Ekhmal Buhary (dua, kiri) bersama kakitangan Pusat Sukan USIM yang terlibat dalam projek tanaman nanas MD2 sejak awal Mac tahun lalu. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketika aktiviti riadah diberhentikan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, Pusat Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dekat sini mengambil peluang mengusahakan projek tanaman nanas jenis MD2.

Projek berkenaan dijalankan di kawasan terbiar di sekitar Kompleks Sukan Tuanku Najihah di universiti tersebut.

Pegawai Belia dan Sukan USIM, Nur Ekhmal Buhary berkata, program yang bermula awal Mac tahun lalu mendapat sambutan dalam kalangan kakitangan, malah, ia menggunakan peruntukan daripada kakitangan USIM yang terlibat.

Jelasnya, projek berkenaan dimulakan dengan penanaman awal sebanyak 1,000 pokok.

“Pihak kami memilih nanas MD2 disebabkan ia tanaman yang mudah dijaga dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Nanas ini tahan lasak, tahan cuaca panas, tidak perlu kerap siram, malah, konsep menggunakan polibeg ini lebih mudah dialihkan dan boleh diletakkan di mana-mana tempat.

“Perancangan kami selepas ini mahu menarik minat pelajar apabila mereka kembali ke kampus untuk menceburi penanaman nanas MD2 ini. Nanas ini akan dijual dalam kalangan warga universiti sebelum dipasarkan ke luar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Nur Ekhmal, Pusat Sukan USIM juga telah dipilih sebagai peneraju Projek Prosumer Nanas MD2 peringkat universiti terbabit.

“Setakat ini, sesi asas pra pengenalan tanaman projek tersebut telah dilaksanakan dengan penglibatan 25 peserta yang dijalankan di Pusat Sukan USIM.

“’Kit permulaan tanaman iaitu 50 sulur dan 10 beg tanah organik, polibeg dan baja juga telah diagihkan kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) Jabatan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan dan Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar dan Pusat Kelestarian serta Kesejahteraan termasuk projek penanaman Polibeg MD2 bersama komuniti iaitu di Banting dan juga Surau Al-Falah Mantin,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya