
PAHANG antara dua negeri selain Perlis di utara tanah air yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kemenangan parti berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada PRU lalu, BN berjaya memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen apabila tewas di Bentong, Temerloh, Kuantan, Indera Mahkota dan Raub.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada 42 kerusi, BN memenangi 25 kerusi, Pas (lapan), DAP (tujuh) dan PKR (dua kerusi).
Pahang dijangka mengekalkan ‘status quo’ bagi pemilikan kerusi di sembilan Parlimen yang dimenangi BN pada PRU-14 dengan formula pembahagian kerusi menjelang PRU-15 akan datang.
Parlimen Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh, Raub dan Bentong dijangka menjadi kerusi ‘hangat’ antara BN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagi Parlimen Kuantan, rata-rata penganalisis politik melihat Pas memiliki kelebihan untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu berkenaan. Ini kerana undi diperoleh Pas lebih tinggi daripada BN. Pas memperoleh 14,696 undi manakala BN mendapat 13,667 undi.
Setelah ditandingi MCA pada PRU-14, sewajarnya laluan diberikan kepada UMNO atau Pas untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu tersebut.
Bagi Indera Mahkota, pada PRU-14, Datuk Saifuddin Abdullah menang ketika bersama PKR. Kini Saifuddin bersama Bersatu yang merupakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
Saifuddin memperoleh 28,578 undi manakala calon BN, Datuk Dr. Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan memperoleh 17,515 undi. Sewajarnya kerusi Indera Mahkota dikekalkan kepada Bersatu.
Untuk Temerloh, UMNO dilihat memiliki kelebihan meletakkan calon bertanding walaupun kerusi tersebut dimenangi calon PKR daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Anuar Tahir, tetapi dari segi undi diterima oleh UMNO (BN), ia melebihi calon Pas sebanyak 7,360 undi.
Calon BN, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin (22,094 undi), calon Pas, Md. Jusoh Darus (14,734 undi) dan dua calon bebas, Khaidir Ahmad (178 undi) serta Muhd. Fakhrudin Abu Hanipah (46 undi). UMNO mempunyai undi kedua tertinggi pada PRU-14 selain rakyat yang mahukan calon anak tempatan bertanding di situ.
Di Raub pula, UMNO yang pada awalnya bertanding di kerusi parlimen itu sebelum diserahkan kepada MCA pada 1978 difahamkan akan kembali bertanding dengan MCA dikhabarkan sedia memberi laluan.
Pada PRU-14 lalu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP) menang apabila memperoleh 20,659 undi, Chew Mei Fun (BN) (17,500 undi) dan calon Pas, Mohamed Nilam Abdul Manap memperoleh 7,866 undi.
Bagi kerusi Parlimen Bentong, MCA difahamkan akan terus bertanding di kerusi majoriti bukan Melayu walaupun tewas pada PRU-14.
Pada PRU-14, Presiden MCA waktu itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong yang diwakilinya selama empat penggal. Tiong Lai memperoleh 23,684 undi, ditewaskan Wong Tack daripada PKR (25,716) manakala calon Pas, N. Balasubramaniam mendapat 5,706 undi. – UTUSAN











