fbpx

17 Oktober 2021, 8:30 pm

  TERKINI

PN tidak takut laksana Undi18

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: Penangguhan undi 18 tahun (Undi18) seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan isu politik oleh mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan dibuat SPR yang merupakan sebuah badan bebas.

Kata beliau, penangguhan itu juga bukan disebabkan pentadbirannya berasa ‘takut’ dengan pelaksanaan undi 18 tahun itu sebaliknya pihaknya mendesak agar Undi18 dilaksana menjelang September, namun badan itu tidak dapat berbuat demikian.

“Kita berbincang mengenai isu ini, saya kata tak boleh ke September tahun ini, dia (Pengerusi SPR) kata tak boleh. Habis nak paksa macam mana.

“Kita perlu realistik dan tak perlu dipolitikkan kerana ia melibatkan perkara besar termasuk kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana membabitkan jutaan pengundi,” katanya selepas melancarkan fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh di Galeri Jualan Sime Darby, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan kerajaan PN pimpinannya tidak gentar menghadapi pengundi muda, sekiranya Undi18 dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)..

“Ada kata kerajaan PN takut, kami tidak takut, malah sebahagian besar anak muda saya yakin menyokong kerajaan.

“Jadi mengapa kita terlalu emosi dalam hal ini, lagi cepat lagi bagus (Undi18 dilaksanakan) tapi nak buat macam mana,” ujarnya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menjelaskan pelaksanaan Undi18 adalah tanggungjawab SPR sepenuhnya dan bukan bawah bidang kuasa kerajaan.

“Urusan ini bukan urusan kerajaan, ia urusan suruhanjaya dan ini terserah kepada kebijaksanaan, kecekapan dan juga pengurusan sama ada ianya boleh dilaksanakan, jadi kita harap dapat dipercepatkan.

“SPR kata isu ini merupakan isu teknikal jadi biarlah mereka yang menguruskannya dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI