PN fokus perangi Covid-19, tingkat ekonomi rakyat - Utusan Malaysia

PN fokus perangi Covid-19, tingkat ekonomi rakyat

DR. Afif Bahardin ditemui selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Fokus Perikatan Nasional (PN) iaitu untuk memerangi Covid-19 dan merancakkan semula ekonomi negara sepatutnya dilihat sebagai tawaran terbaik untuk rakyat pada ketika ini.

Ahli Parlimen Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, komitmen yang ditunjukkan rata-rata anggota komponen dalam parti itu khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika menangani suasana krisis ketika ini juga boleh dijadikan ukuran semasa.

“Walaupun UMNO menerusi Presidennya (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) telah menghantar surat (penamatan kerjasama dengan PN), namun saya percaya rakan-rakan dalam UMNO khususnya tahu apa yang sepatutnya menjadi kepentingan sekarang.

“Mereka (UMNO) adalah sebahagian daripada Kabinet dan mereka juga adalah anggota pentadbiran. Oleh itu, kepentingan negara dan rakyat perlu diutamakan berbanding kepentingan individu itu sendiri,” katanya.

Beliau ditemui semasa menghadiri program suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Seberang Jaya, di sini hari ini.

Ditanya mengenai desas-desus beliau akan meninggalkan kerusi DUN Seberang Jaya untuk kembali ke Shah Alam menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Afif yang kini menganggotai Bersatu berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan.

“Apa yang penting ialah misi utama kita iaitu untuk memenangi semua kerusi Parlimen yang ditandingi PN tercapai,” katanya yang juga bekas Exco Pulau Pinang.

Afif turut membayangkan beliau terbuka untuk bertanding pada mana-mana kerusi jika namanya tersenarai sebagai calon pada PRU-15.

“Tapi, kalau boleh kita nak (kerusi) yang selesalah. Itu pun sebenarnya terserah kepada pucuk pimpinan kerana dari segi strateginya, kita perlu menampilkan calon boleh menang jika ingin menang,” ujar beliau.

Afif telah menyandang kerusi DUN Seberang Jaya selama dua penggal iaitu sejak Mei 2013 selepas memenanginya atas tiket PKR sebelum dilucutkan keahlian pertengahan tahun lepas kerana didakwa menyatakan sokongan secara terbuka terhadap kerajaan pimpinan PN. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya