Persidangan maya Perhimpunan Agung UMNO tiada roh? - Utusan Malaysia

Persidangan maya Perhimpunan Agung UMNO tiada roh?

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd. Adri Adha Mohamad berkata, perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu mengikuti perhimpunan secara maya hari ini dengan cukup bersemangat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang yang mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2020 secara maya di Pejabat UMNO Bahagian itu di Taiping hari ini mengakui persidangan seumpama itu kurang roh.

Kata mereka, ini kerana suasana perhimpunan besar umat Melayu yang biasanya diadakan dalam satu perhimpunan yang besar sebelum ini tak dapat dirasai lagi pada perhimpunan kali ini.

Kata mereka, begitupun semangat perjuangan UMNO tetap terus dihayati walaupun perwakilan peringkat bahagian itu hanya mengikuti persidangan secara maya menggunakan aplikasi Webex.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd. Adri Adha Mohamad berkata, perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu mengikuti perhimpunan secara maya hari ini dengan cukup bersemangat.

“Pertama kali persidangan ini diadakan secara maya, rohnya kurang sebab suasana perhimpunan besar umat Melayu tak dirasai.

“Namun, kami di peringkat bahagian tetap menghayati perhimpunan ini terutama ketika mendengar ucapan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO di PWTC hari ini.

“Walaupun kami hanya mengikuti ucapan beliau secara maya, namun, kami menghayati ucapan perasmian Timbalan Presiden. Ucapan kali ini ucapan membuka mata seluruh ahli UMNO,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, perkara utama pada PAU hari ini ialah ucapan perasmian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberikan maksud yang jelas mengenai hala tuju parti.

Katanya, apa yang menarik perhatian ialah apabila Timbalan Presiden menyentuh mengenai kejatuhan sesebuah negara apabila tersalah memilih kepimpinan.

“Ahli UMNO perlu menghayati ucapan Timbalan Presiden yang mahu UMNO kembali menerajui negara kerana rekod cemerlang menerajui negara selama ini,” katanya.

PAU 2020 hari ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC), Kuala Lumpur dan secara maya di 190 UMNO bahagian di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN