KOTA BHARU: Perpaduan dan penyatuan ummah membabitkan Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) akan terus menjadi mimpi ngeri paling ditakuti Pakatan Harapan (PH) serta penyokongnya.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, hal itu terbukti apabila para penyokong PH menyerangnya habis-habisan setiap kali beliau menulis mengenai pemerkasaan MN.
“Menakjubkan. Perpaduan menjadi mimpi ngeri dan ketakutan buat mereka. Tiada lagi peluru lain selain pecahkan perpaduan parti yang memerintah.
“Pelajarannya, penyatuan umat senjata paling kuat. Ia bagai kubu dan pertahanan dilengkapi senjata. Kegerunan musuh tercetus tanpa perlu menyerang mereka,” katanya menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebook miliknya hari ini.
Nik Mohamad Abdul dalam pada itu berkata, berdasarkan perkembangan tersebut juga, maka terbukti PH dulunya sekadar membina negara menggunakan gendang dan trompet.
“Bisingnya dari kejauhan. Bila mendekati, wayang pacak dah pun bungkus awal. Penonton berpaling punggung tidak puas hati.
“Kerajaan PH kebaikannya amat sedikit berbanding keburukan. Malang, penyokong mereka masih melihat keburukan sebagai kebaikan,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, bukan perkara pelik jika PH terus menerus menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan senapang ‘mainan’ dengan bunyinya yang kuat.
Kerajaan PN pula katanya, akan terus menyumbang untuk kejayaan negara menempuh gelora pandemik global bersenjatakan perpaduan utuh.
“Pas tekad menjayakan misi Islam sebagai sistem dan cara hidup terbaik untuk Malaysia dan sejagat,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










