Perhimpunan Agung UMNO 2020: Elak akar umbi terus keliru - Utusan Malaysia

Perhimpunan Agung UMNO 2020: Elak akar umbi terus keliru

RUSDI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) esok disifatkan cukup penting khususnya bagi parti terbesar orang Melayu itu menentukan hala tuju yang jelas berhubung soal kerjasama dengan parti-parti lain menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perhimpunan itu juga dijangka panas dengan kemungkinan bakal berlaku pertembungan ‘dua kem’ iaitu dalam kalangan pemimpin atau bahagian yang mahu UMNO bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mereka yang menolak kerjasama tersebut.

Bahagian-bahagian lain dilihat ada yang telah menyatakan pendirian awal menolak kerjasama dengan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) namun ada juga yang masih diam dan mungkin menunggu masa sesuai khususnya pada PAU bagi menyatakan pendirian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, PAU kali ini cukup penting bagi UMNO menyatakan pendirian sejelas-jelasnya sama ada mahu bekerjasama dengan PN atau Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRU-15 seterusnya mengelak akar umbi daripada terus keliru.

Dalam masa sama, beliau juga menjangkakan kemungkinan besar bakal wujud dua kem sekiranya UMNO membuat ketetapan untuk tidak bersama Bersatu di dalam PN.

“Dilihat ada satu kumpulan yang cenderung dengan kerjasama dengan PN dan satu kumpulan yang tidak mahu kerjasama tersebut. Saya jangka PAU kali ini mungkin panas dan cukup penting sebelum memasuki gelanggang pilihan raya.

“Sebelum ini, ada ura-ura UMNO nak bekerjasama dengan PKR sehingga menyebabkan akar umbi menjadi keliru. PAU kali ini menjadi medan terbaik bagi parti itu menyatakan pendirian,” katanya.

Tambah Rusdi, melihat kepada suasana politik ketika ini, kerjasama parti-parti politik adalah cukup penting bagi mencapai kemenangan.

Malah katanya, negeri-negeri seperti di pantai timur dan utara dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menang jika UMNO menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dan Pas selain memiliki peluang cerah di negeri-negeri lain seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Semua itu bergantung kepada keputusan UMNO di dalam PAU nanti. Besar kemungkinan juga boleh berlaku kerjasama politik berdasarkan negeri-negeri jika gagal mencapai kata sepakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN