Peniaga besi buruk mengaku ‘Datuk Seri’ ugut polis - Utusan Malaysia

Peniaga besi buruk mengaku ‘Datuk Seri’ ugut polis

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar seorang lelaki tempatan yang bergelar Datuk Seri yang ditangkap polis kerana melakukan pemerasan dan ugutan pada sidang akhbar di IPK Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Tuan tangkap saya, saya akan porak-perandakan semua balai polis dan hidup tuan,” ugut seorang lelaki yang mengaku bergelar Datuk Seri kepada pegawai polis berpangkat Inspektor dari Balai Polis Seri Alam ketika menahannya, Khamis lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki yang berusia 56 tahun itu ditahan bersama seorang rakannya berusia 41 tahun kerana mengugut mangsa dan pegawai yang menangkapnya kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata, suspek tersebut melakukan pemerasan dengan meminta mangsa berusia 50-an membayar sejumlah hutang dengan kekerasan dalam kejadian di kawasan Seri Alam, 22 Februari lalu.

“Berikutan aduan tersebut, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan membuat tangkapan terhadap dua orang suspek tiga hari kemudian.

“Ketika ditahan, suspek yang mengaku bergelar Datuk Seri sempat mengugut seorang pegawai polis terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek yang merupakan peniaga besi buruk ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut pegawai polis yang menangkapnya.

Beliau berkata, hasil semakan rekod, lelaki yang mengaku sebagai Datuk Seri mempunyai 23 rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan.

Tambahnya, suspek juga pernah dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat sebanyak dua kali ditahan di Simpang Renggam, dekat sini dan Pulau Jerejak, Pulau Pinang sekitar tahun 80-an serta 90-an.

Malah, Ayob Khan berkata, susulan tangkapan tersebut, terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menghubungi pihak polis yang cuba memberi input positif mengenai suspek tersebut

“Saya ingin memberi ingatan terhadap NGO terbabit termasuk NGO Islam, jangan teruja dengan individu yang mempunyai pangkat seperti Datuk Seri atau Tan Sri.

“Mungkin individu ini menyalurkan derma atau sebagainya kepada NGO bagi memastikan kegiatan mereka terlindung. Jangan beranggapan mereka yang memberikan derma sebagai individu yang baik dan tidak terlibat dalam jenayah.

“Ini bukan Robin Hood, polis jalankan siasatan secara telus dan akan mengambil tindakan tegas undang-undang yang ada tanpa ada tolak ansur,” katanya.

Ditanya sama ada suspek itu terlibat dengan mana-mana parti politik, Ayob Khan memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenainya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.