Pengasuh kanak-kanak perempuan direman empat hari - Utusan Malaysia

Pengasuh kanak-kanak perempuan direman empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menahan reman pengasuh kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat lemas di dalam besen semalam selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, reman ke atas wanita berusia 43 tahun itu dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku di kediamannya di Permatang Damar Laut kelmarin.

Menurutnya, proses bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi ini.

“Wanita itu ditahan reman sehingga 7 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu dilaporkan maut akibat lemas di dalam besen di bilik air rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Batu Maung di sini.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Wad Pediatrik HPP pada pukul 2 pagi.

Kejadian itu berlaku selepas pengasuh berkenaan dikatakan keluar mengambil kain tuala di luar bilik air dan meninggalkan kanak-kanak itu seketika seorang diri.

Sebaik sahaja wanita kembali semula ke bilik air dia mendapati kepala mangsa telah tenggelam di dalam besen yang berisi air hampir separuh badan sementara kakinya berada di luar.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Unit Forensik HPP di sini mendapati waris mangsa masih menunggu keputusan proses bedah di luar pekarangan bangunan berkenaan sehingga pukul 1.20 petang ini.

Mayat kanak-kanak tersebut difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Damar Laut petang ini sejurus selesai dimandi dan dikafankan di HPP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya