Pengaruh Kor Ming sukar digugat - Utusan Malaysia

Pengaruh Kor Ming sukar digugat

NGA Kor Ming berucap pada Konvensyen DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, Ahad lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPEROLEH undi tertinggi, itu sudah cukup membuktikan kekuatan pengaruh Nga Kor Ming dalam DAP Perak apabila Ahli Parlimen Teluk Intan itu menang dalam pemilihan jawatankuasa DAP Perak, Ahad lalu.

Kemenangan Kor Ming dan gandingannya, Ngeh Koo Ham mudah mengetepikan cabaran kumpulan diketuai Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran dalam pemilihan itu.

Walaupun pada awalnya dijangkakan berlaku saingan, berdasarkan keputusan undian, Thomas dan Kula gagal memberikan tentangan apabila mereka sekadar masing-masing menerima hanya 550 dan 540 undi.

Malah, tiada seorang pun daripada kumpulan Thomas dan Kula yang berjaya menempatkan diri dalam 15 jawatankuasa DAP Perak.

Kekalahan tersebut pastinya satu tamparan buat Kula Segaran sebagai Naib Pengerusi DAP Kebangsaan juga Thomas kerana mencetuskan kekecohan semasa pemilihan tempoh hari dengan dakwaan wujud pengundi hantu.

Walaupun ada suara yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Kor Ming, terutama apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak mengumumkan keluar parti, ia tidak menjejaskan sokongan terhadap beliau.

Apa yang jelas, kemenangan Ahad lalu menjadikan Kor Ming kini berada dalam keadaan yang sangat kuat, ibarat ‘satu-satunya harimau di atas bukit’. Tiada siapa yang mampu mencabar kekuatan dan pengaruh beliau.

Juga bukan retorik, kekuatan beliau datang bersama prestasi cemerlang apabila DAP menang semua 18 kerusi DUN dan tujuh Parlimen yang ditandingi dalam PRU-14.

Rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sepatutnya ‘tabik’ dengan kecemerlangan Kor Ming.

Kor Ming dikenali sebagai seorang pemimpin yang sentiasa bekerja keras, amat berbakat sebagai pemimpin sehingga ada yang menyebutnya sebagai ‘Lim Kit Siang nombor dua’.

Malah, kelebihan Kor Ming ialah pandai mengambil hati dan mesra dengan orang Melayu serta penguasaan bahasa Melayunya amat baik sehingga dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Kemenangan Ahad lalu membuka laluan yang jelas buat Kor Ming dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) akan datang.

Dengan bilangan perwakilan paling ramai dari negeri Perak, Kor Ming dilihat berpotensi untuk menang dalam jawatan yang ditandinginya.

Malah, ada yang menjangkakan Kor Ming atau DAP Perak boleh menjadi ‘broker’ kepada sesiapa yang mahu bertanding dalam CEC itu nanti kerana Perak mempunyai bilangan perwakilan paling ramai.

Maksudnya sesiapa yang mahu bertanding dalam CEC DAP, kena berunding dahulu dengan DAP Perak jika mahukan undi.

Dengan kekuatan yang dimilikinya ketika ini, tidak keterlaluan untuk diramalkan langkah Kor Ming untuk mencabar kerusi tertinggi dalam parti termasuk jawatan Setiausaha Agung parti semakin hampir.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×