fbpx

16 April 2021, 11:16 pm

  TERKINI

Penduduk minta baiki segera tanah mendap

JHANGIR Khan Kathem Khan menunjukkan kesan tanah mendap di jalan antara pekan Kupang ke Kampung Tebing Tinggi, Baling hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Pengguna jalan raya melahirkan kebimbangan apabila melalui jalan di Kampung Charuk Sikin di sini berikutan kejadian tanah mendap yang semakin serius di jalan tersebut sejak lima bulan lalu.

Jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk di kampung tersebut termasuk pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ketil serta Rumah Anak Yatim dan Miskin Al-Wadi Charuk Sikin di sini.

Malah setakat ini, sebanyak tiga kejadian kenderaan terjatuh ke dalam lubang seluas lebih satu meter dan dalam kira-kira tiga meter yang terbentuk kesan daripada tanah mendap tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak membaiki segera kesan tanah mendap di jalan berkenaan.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan berlaku kemalangan yang lebih serius sekiranya kesan mendap tersebut tidak diperbaiki segera.

“Penduduk kampung telah tularkan kejadian tanah mendap itu kerana mengancam nyawa pengguna jalan berkenaan, namun tiada segera diambil oleh pihak berkuasa terlibat,” katanya di sini hari ini.

Seorang penduduk Kampung Charuk Sikin, Mohamad Sulaiman Salleh, 39, berkata, kejadian tanah mendap itu mula berlaku pada lima bulan lalu dan lubang yang terbentuk itu didapati semakin besar dan dalam.

Pada masa ini, katanya, beberapa kon keselamatan telah diletakkan di jalan tersebut untuk mengelakkan kenderaan terjatuh dalam lubang berkenaan.

“Kejadian tanah mendap di jalan berkenaan sepatutnya diperbaiki segera dan tidak sepatutnya dibiarkan rosak dalam tempoh yang lama,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulai, Mohd. Hazmir Md. Isa pula berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian tanah mendap itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Baling, baru-baru ini.

“Insya-Allah kebimbangan yang dihadapi penduduk bakal selesai apabila kawasan yang berlaku kejadian tanah mendap itu diperbaiki nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN