KUALA LUMPUR: Exco Pemuda UMNO, Mohd. Azril Rizal Mohd. Sarit menyifatkan sayap yang diwakilinya perlu berubah dengan radikal bagi memastikan undi berpihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berpandangan, sayap pemuda perlu menjadi tarikan kepada pengundi-pengundi baharu, terutamanya apabila undi 18 tahun dilaksanakan pada September 2022.
“Jika undi 18 sempat dilaksanakan seperti anggaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), akan ada 20 ke 30 peratus pertambahan undi baharu.
“Cara fikir dan cara gerak kerja kita mestilah berubah secara radikal untuk menambat hati ‘targeted voters’ kita. Tetapi usaha Pemuda UMNO dan parti sendiri perlu dioptimumkan semaksimum mungkin supaya undi orang muda berpihak kepada kita,” katanya.
Pada masa sama, beliau menganggap perubahan radikal amat penting memandangkan pengundi mudalah yang mewujudkan ‘tsunami’ sehingga Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU-14.
“Maka kita perlu memberikan tumpuan dan kita harus akui corak pemikiran, sudut pandang dan tindakan mereka dalam menilai pilihan politik mereka pasti berbeza daripada generasi mereka yang lebih senior,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyokong ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









