BALIK PULAU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memastikan telur ayam yang dieksport ke luar negara selamat daripada sebarang pencemaran bakteria.
Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kewujudan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) di dalam telur ayam perlu dikenal pasti sebelum produk itu dieksport ke luar negara seperti Singapura.
“Kita telah meminta JPV cuba cari sebab (SE dalam telur ayam) supaya kita dapat kenal pasti masalah ini di dalam negara, bukan apabila sampai ke Singapura, negara itu yang kesan masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Pulau, di sini hari ini.
Singapura sebelum ini mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan, arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.
Menurut Che Abdullah, setakat ini pihak kementerian masih belum menerima laporan lengkap berhubung isu kewujudan bakteria SE di dalam telur ayam berkenaan.
“Kita telah meminta laporan penuh, namun masih belum terima laporan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah menyalurkan peruntukan pembangunan kepada PPK Seri Pulau sebanyak RM812,010 yang melibatkan tiga projek korporat dan 20 usahawan peladang.
“PPK Seri Pulau mempunyai beberapa projek seperti projek penanaman cendawan, sayur konvensional serta akuaponik yang kita lihat berpotensi untuk dimajukan lagi. Kita melalui LPP bersedia membantu dari segi aspek peruntukan pembangunan projek dan menjadi penyelaras bagi memastikan PPK Seri Pulau bergerak lebih progresif,” katanya.
Tambahnya, kementerian juga bersetuju dengan cadangan daripada LPP Pulau Pinang untuk menjadikan PPK Seri Pulau sebagai lokasi agro edu-tourism di negeri ini.
“PPK Seri Pulau terletak di lokasi yang strategik dan kita yakin orang ramai akan tertarik untuk datang ke sini bagi melihat sendiri projek pertanian di sini,” katanya.










