Pas Perak mula gerak jentera parti - Utusan Malaysia

Pas Perak mula gerak jentera parti

MOHD. AKMAL KAMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Pas Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, kerjasama antara Pas, UMNO dan Bersatu dalam mentadbir negeri tetap erat dan harmoni.

Menurutnya, sehubungan itu Pas berharap kerjasama tersebut diteruskan sehingga PRU-15.

“Itu harapan besar Pas dan yakin ia juga harapan rakyat yang mahukan semua parti Melayu Islam terus bekerjasama seperti yang berlaku hari ini, bukan setakat PRU-15 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling sempena Hari Air Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Mohd. Akmal berkata, begitu pun Pas Perak tetap bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ketetapan UMNO itu malah sudah menggerakkan jentera parti.

“Namun saya tak pasti itu keputusan UMNO atau hanya cadangan daripada perwakilan tapi untuk Pas Perak, kami sentiasa bersedia dalam apa jua kemungkinan dan kita dah mula gerak jentera di setiap peringkat untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dalam PRU-15, Mohd. Akmal berkata, rundingan mengenainya sedang dijalankan.

“Rundingan pembahagian kerusi sedang dijalankan antara pucuk pimpinan pusat Pas dan UMNO, Pas pun ada kerusi nak ditandingi, cuma rundingan sedang berlangsung,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Persidangan Agung UMNO 2020 pada Ahad lalu berkata, BN dan parti gabungan yang ditunjangi UMNO memutuskan untuk menghadapi PRU-15 secara bersendirian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya