Pandangan pemilik diambil kira, bangunkan tanah tapak bekas penternakan babi - Utusan Malaysia

Pandangan pemilik diambil kira, bangunkan tanah tapak bekas penternakan babi

MOHAMAD Rafie Abdul Malek (dua dari kiri) dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Berkaitan PFA (Pig Farming Area) di Kompleks Pejabat Daerah Port Dickson, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan membuka peluang kepada pemilik tanah di Bukit Pelandok dekat sini memberikan pandangan mereka bagi membangunkan tanah di tapak bekas penternakan babi yang terbiar lebih 20 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula tanah berkenaan namun ia perlu menunggu keputusan hasil dialog awam (town hall) bersama pemilik tanah berkenaan yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri mahu membangunkan bekas tapak penternakan babi yang terbesar bagi membantu menyelesaikan isu selama 20 tahun yang tiada lagi jalan penyelesaian. Oleh itu, kerajaan negeri pada 3 Februari lalu telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas bagi mengkaji kawasan berkenaan.

“Kami akan mengadakan dialog awam bersama penduduk setempat bagi mengetahui apa langkah penyelesaian dan melihat pandangan yang sesuai dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Berkaitan PFA (Pig Farming Area) di Kompleks Pejabat Daerah Port Dickson dekat sini hari ini.

Sebanyak 374 lot tanah dengan keluasan 713.3 hektar tanah terbiar di Bukit Pelandok susulan penularan Virus Nipah yang melanda kawasan berkenaan pada tahun 1999.

Virus berkenaan menyebabkan 108 kematian dan melumpuhkan aktiviti ekonomi penternakan babi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, menurut Mohamad Rafie, pasukan petugas tersebut akan memastikan pandangan semua pihak terutamanya penduduk setempat akan diambil kira.

“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa ini yang turut dibantu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri negeri, Datuk Bakri Sawir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching.

“Diew Ching juga dilantik mempengerusikan jawatankuasa teknikal dalam pasukan petugas ini manakala Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concept Holdings Bhd., Datuk Lee Tian Hock dilantik sebagai Timbalan Pengerusi,” katanya.

Jelas Mohamad Rafie lagi, pasukan petugas tersebut akan diberi masa tempoh enam hingga 12 bulan bagi menjalankan perincian dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri untuk pertimbangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya