Mesyuarat penubuhan PN Pahang 26 Mac ini - Utusan Malaysia

Mesyuarat penubuhan PN Pahang 26 Mac ini

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Mesyuarat rasmi pertama membabitkan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan juga Gerakan Pahang akan diadakan pada 26 Mac ini bagi membincangkan berhubung penubuhan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemilihan tarikh itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada pimpinan Pas dan Gerakan negeri susulan dua pertemuan tidak rasmi diadakan sebelum ini.

“Pertemuan tidak rasmi bersama Pas dan Gerakan sudah diadakan dua kali, termasuk hujung minggu lalu dan hasilnya sangat memberangsangkan dan berlangsung dengan baik.

“Jadi, kita harap mesyuarat dirancang pada 26 Mac ini dapat membuka jalan kepada penubuhan PN di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas program Malaysia Prihatian anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang ketiadaan wakil UMNO dalam mesyuarat itu, Saifuddin berkata, pertemuan itu hanya membincangkan perkara berkaitan gabungan antara Bersatu, Pas dan Gerakan dan tidak membabitkan perkara di luar kawalan, termasuk kerjasama dengan UMNO.

“UMNO yang buat keputusan itu (untuk tidak bersama dengan Bersatu) dan kita faham apa yang berlaku dalam Muafakat Nasional (MN).

“Itu hak masing-masing dan kita mahu memperkukuhkan PN, terutamanya di Pahang,” katanya.

Sementara itu ditanya kemungkinan PN akan menggantikan Barisan Nasional (BN), beliau berkata setiap gabungan parti politik mempunyai kelebihan dan juga persamaan, namun tidak bermakna gabungan berkenaan boleh menggantikan mana-mana gabungan lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN