REMBAU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang melecur dalam kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini pada 4 Mac lalu meninggal dunia, petang tadi.
Mangsa, Zaidi Zainuddin, 40, yang mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang selepas 13 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, pihaknya menerima maklumat kematian berkenaan dan jenazah telah dikebumikan pada malam ini di Tanah Perkuburan Solok Jelawai.
“Mangsa bertarung nyawa di ICU sejak kebakaran berkenaan pada 4 Mac lalu dan mengalami lecur di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Utusan Online pada 4 Mac lalu melaporkan dua beranak cedera selepas rumah berusia lebih 100 tahun yang didiami mereka musnah dalam kebakaran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Maimunah Shah, 80, dikatakan cuba masuk ke dalam rumah tersebut yang sedang terbakar menerusi pintu dapur bagi menyelamatkan anaknya, Zaidi.
Tindakannya bagaimanapun sempat dihalang seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Sementara itu, Pengasas Amal Team Rembau, Ibrahim Hamzah berkata, pihaknya telah diamanahkan untuk menguruskan jenazah Allahyarham di Teratak Amal Team Rembau di Taman Chembong Jaya.
“Urusan memandikan jenazah, mengkafankan dan mengebumikan jenazah yang melecur telah dilaksanakan sebaik mungkin di sini.
“Solat jenazah telah disempurnakan di Masjid Kariah Mampong. Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 9.30 malam tadi,” katanya.