KUANTAN: Tindakan ‘left group’ dalam kalangan rakan atau ahli kumpulan di media sosial boleh membawa mudarat dan merosakkan hubungan sesama manusia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Akademi Hadis Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Siti Nora’ Aeshah Zakaria berkata, apabila situasi sedemikian berlaku, ia menandakan wujud rasa tidak puas hati ekoran komen negatif dan tidak baik yang dibuat di media sosial.
“Jika tidak diambil peduli, ia dibimbangi melarat di dunia nyata dan melibatkan kaum keluarga. Tidak ada orang yang suka berkawan atau ‘friend’ walaupun di media sosial dengan sahabat yang sering memberikan komen negatif.
“Rasulullah SAW sangat melarang umatnya memutuskan silaturahim. Rasulullah bersabda yang bermaksud “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (Sahih Bukhari),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Siti Nora’ Aeshah berkata, kemajuan teknologi dan sistem komunikasi kini menjadikan orang ramai sering berdamping dengan telefon bimbit dan sentiasa berkomunikasi melalui media sosial.
Pengguna media sosial kini katanya, bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa tetapi juga golongan tua dan kanak-kanak juga menggunakannya.
Oleh itu, beliau menjelaskan, wajar kepada semua pengguna untuk berhati-hati dalam mengeluarkan komen terhadap sesuatu berita yang kadang-kadang dimanipulasi ceritanya oleh sesetengah golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.
“Gaya komen negatif yang tidak menjaga adab dan susila bukan sahaja akan mempengaruhi golongan muda bahkan kanak-kanak juga mudah terkesan untuk menirunya,” jelasnya.
Menurutnya, Rasulullah SAW mengajak umatnya berfikir terlebih dahulu sebelum berbicara tidak kira sama ada dengan lisan mahupun tulisan.
“Nabi Muhammad SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud, jangan kamu bercakap dengan perkataan yang esoknya kamu akan menyesal kelak,” katanya.
Beliau berkata, Rasulullah menyebut dalam hadisnya yang bermaksud; “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata-kata (perkara) yang baik atau (lebih baik) ia diam (daripada mengatakan perkara yang jahat) (Sahih Bukhari dan Muslim).
“Hadis ini membuktikan orang yang memberi komen baik adalah orang beriman. Tuntutan berdiam itu lebih baik berbanding mengeluarkan komen negatif. Kebanyakan orang boleh menilai peribadi pemilik akaun media sosial melalui komen dan statusnya.
“Jika buruk tulisannya, maka lebih ramai orang akan mengenalinya sebagai orang yang tidak baik. Oleh itu, kemudaratan memberi komen dan status negatif di media sosial lebih buruk kesannya berbanding di alam nyata dan akan lebih cepat tersebar aibnya,” katanya.- UTUSAN ONLINE











