PETALING JAYA: Alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan undi 18 tahun (Undi 18) ternyata tidak boleh diterima sama sekali oleh golongan belia yang tetap bertegas mahu ia dilaksanakan selewat-lewatnya tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, SPR sepatutnya komited melaksanakan Undi 18 tanpa sebarang penangguhan.
“Jika Undi 18 dilaksanakan pada tahun ini, ia menunjukkan kerajaan serius terhadap suara orang muda dan ada kesungguhan untuk melaksanakannya.
“Sebab itu, saya bersama-sama beberapa pertubuhan belia di negara ini menggesa supaya pelaksanaan Undi 18 disegerakan,” katanya.
Penganalisis undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, gesaan itu timbul kerana Parlimen telah bersetuju untuk melaksanakan Undi18.
“SPR sejak dari awal lagi telah memulakan usaha untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran automatik dan ia telah bermula sejak dari kerajaan yang sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP, Shakir Ameer Mohideen berpandangan SPR sepatutnya sudah bersedia untuk melaksanakan Undi 18 sebaik sahaja ia diluluskan di Parlimen pada 2019.
Malah, beliau berpendapat membenarkan pengundi berusia 18 tahun mengundi bukanlah perkara yang negatif, sebaliknya boleh dijadikan kelebihan kepada kerajaan.
“Tidak semestinya orang muda akan sokong Pakatan Harapan (PH), DAP atau PKR. Kalau kerajaan laksanakan tugas dengan baik, mereka juga boleh dapat sokongan orang muda,” katanya. -UTUSAN










