Kit saringan Covid-19 guna sampel air liur diperkenal - Utusan Malaysia

Kit saringan Covid-19 guna sampel air liur diperkenal

MAZLAN Sabli menunjukkan kit ujian saringan Covid-19 menggunakan sampel air liur dikenali 'fjord-saliva' di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Alif Masyhur Sdn. Bhd. (Alif Masyhur) dengan kerjasama Fjord Diagnostics Sdn. Bhd. (Alif-Fjord) muncul syarikat Malaysia pertama memperkenalkan kit saringan ujian Covid-19 menggunakan sampel air liur.

Lebih menarik, kit ujian pengumpulan sampel air liur dikenali Fjord-Saliva itu mengandungi alat (Sediprep) untuk meningkatkan kepekatan kandungan virus dalam sampel air liur bagi mengesan Covid-19.

Pengerusi Eksekutif Alif Masyhur Sdn. Bhd., Datuk Mazlan Sabli berkata, apa yang menarik, Sediprep itu kini sudah mendapat kelulusan paten di lapan buah negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, China, Korea, Hong Kong, Jerman dan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya kini sudah bersedia memasuki pasaran tempatan bila-bila masa dengan kapasiti pengeluaran sehingga dua juta unit sebulan.

“Kami menetapkan harga jualan runcit RM45 seunit iaitu jauh lebih murah berbanding ujian saringan yang digunakan buat masa ini.

“Selepas sampel air dimasukkan dalam Sediprep, ia kemudian akan dihantar ke makmal untuk diuji dan pengguna perlu membayar kos bagi ujian makmal,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, kit ujian sampel air liur ini adalah kaedah persampelan menggunakan ujian calitan.

Mazlan berkata, apa yang penting, produk ini selamat daripada potensi jangkitan dan sampel air liur itu juga mampu bertahan selama 21 hari di dalam suhu bilik tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk.

Menurutnya, saringan sampel menggunakan Sediprep menghasilkan kepekatan kandungan virus yang memudahkan ujian di makmal dan ketepatan tinggi sehingga 100 peratus.

“Kit ujian itu membolehkan pengumpulan sampel air liur dilakukan sama ada di rumah atau tempat kerja tanpa perlu ke pusat kesihatan.

“Dengan ini, ia dapat membantu kerajaan dalam penjimatan ketika melaksanakan saringan kerana penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) serta peralatan dan bilangan petugas barisan hadapan dapat dikurangkan,” katanya.

Katanya, secara amnya, ujian Covid-19 boleh dilakukan oleh semua rakyat Malaysia tanpa perlu temu janji, beratur, kos tambahan seperti pengangkutan, perkhidmatan klinikal atau kemungkinan terdedah kepada jangkitan.

Mazlan berkata, kit ini mendapat kelulusan daripada Peranti Perubatan Malaysia (MDA), Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini, kami sudah menerima pesanan daripada agensi dan farmasi dari dalam dan luar negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya