Khuatir penggunaan kalimah Allah, MAIS fail rayuan - Utusan Malaysia

Khuatir penggunaan kalimah Allah, MAIS fail rayuan

ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk dijadikan sebagai pihak pencelah dalam kes rayuan berhubung kebenaran penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan bahasa Arab termasuk kalimah Allah.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tindakan itu dibuat demi menjaga kesucian kalimah Allah yang berkait rapat dengan akidah orang lslam.

Kata beliau, MAIS bimbang berhubung kebenaran penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan bahasa Arab termasuk kalimah Allah kerana dapat membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebar atau mengembangkan agama bukan lslam kepada orang lslam khususnya di Selangor.

“MAIS menyokong penuh tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan untuk merayu keputusan tersebut.

“MAlS juga menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk dijadikan sebagai pihak pencelah dalam kes rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Sultan Selangor bertitah, penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan buku dan tulisan agama Kristian dalam apa jua bentuk yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di negeri ini.

Titah Sultan Sharafuddin, kalimah Allah adalah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada tuhan yang maha esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

Baginda bertitah, kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud tuhan yang maha esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah aalah suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang lslam.

“Kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain daripada agama lslam. Mmenjadi tanggungjawab MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama lslam di dalam negeri ini selepas Sultan Selangor untuk memelihara dan menjaga kesucian agama lslam termasuk menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang.

“MAIS menegaskan bahawa di bawah Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan lslam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang lslam, 1988), mana-mana orang bukan lslam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan lslam di dalam negeri ini adalah merupakan suatu kesalahan.

“Malah, fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan lslam yang lain dan wajib bagi orang lslam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya