Kes ingkar SOP turun mendadak kepada 246 individu - Utusan Malaysia

Kes ingkar SOP turun mendadak kepada 246 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun drastik setelah naik sehari sebelum itu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 246 individu dicekup semalam berbanding 499 individu ditahan kelmarin dan 305 individu diberkas Selasa lalu.

“Daripada jumlah itu, 234 dikompaun, manakala 12 lagi direman dengan kes paling tinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 94,” katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Ini diikuti gagal memakai pelitup muka (55), rentas kawasan tanpa izin (37), tidak patuh jarak fizikal (29), aktiviti di pusat hiburan (16), premis dibuka lebih masa (13) dan lain-lain (2).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 73,659 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,495 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,365 anggota itu semalam memantau 6,335 restoran, 4,621 pasar raya, 3,972 bank, 3,562 rumah ibadah, 2,900 penjaja, 2,488 pasar awam dan 1,803 kilang.

Turut dipantau ialah 1,593 tempat riadah serta 1,117 pejabat kerajaan selain 1,372 terminal pengangkutan darat, 301 terminal pengangkutan air dan 126 terminal pengangkutan udara.

Sembilan pendatang asing tanpa izin juga ditahan dan enam diusir semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan membendung penularan Covid-19.

“Sebanyak dua kenderaan darat dirampas selain sejumlah 106 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 447 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 106 operasi sanitasi awam juga dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 34 zon merah, 10 zon jingga, 14 zon kuning dan dua zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 418 anggota bomba selain 200 anggota pihak berkuasa tempatan dengan penggunaan sebanyak 95 jentera bomba di seluruh negara.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 844 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,733 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 78 buah hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 872 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 128,373 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 548 peruncit, 157 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 2,147 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 14 premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya