Kejayaan atas krisis akan tingkat keyakinan rakyat kepada PN - Utusan Malaysia

Kejayaan atas krisis akan tingkat keyakinan rakyat kepada PN

P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) hanya akan kekal lama jika gabungan politik itu mampu menangani sebarang krisis dalaman termasuk isu sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika mahu terus mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Dr. P. Sivamurugan dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat, rakyat hanya akan menaruh kepercayaan berdasarkan kestabilan sesebuah gabungan politik dan barisan kepimpinan yang meyakinkan.

Katanya, rakyat boleh menerima Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini kerana kedua-dua gabungan politik itu berada dalam keadaan stabil dan mempunyai pemimpin yang berwibawa.

“Hakikatnya, BN dan PH sebenarnya mengambil masa yang lama untuk meraih kepercayaan rakyat. PN juga akan ambil masa yang lama, memandangkan kemelut politik masih berterusan sejak mengambil alih kerajaan. Ini satu perkara yang perlu ditangani jika mahu mendapat sokongan rakyat.

“Walaupun Muhyiddin yakin, belum tentu PN boleh bertahan lama kerana sokongan terhadap gabungan itu masih longgar. PN juga perlukan pemimpin berwibawa selain daripada Muhyiddin. Segalanya bergantung kepada bagaimana mereka tangani krisis dalaman, hadapi pesaing politik, membuat percaturan politik serta mengurus tohmahan dan persepsi sebelum PN benar-benar diterima ramai,” katanya.

ABU SOFIAN YAACOB

Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob dari Putra Business School di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula mengakui permohonan i-Sinar tanpa syarat baru-baru ini yang amat membantu pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), memberi kelebihan politik kepada kerajaan.

Namun katanya, ia juga menunjukkan masih ada ramai yang tidak mendapat bantuan sewajarnya dan sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan baharu dengan segera.

Malah, beliau menganggap pakej terbaharu nanti mestilah bersifat proaktif dan menggalakkan rakyat menambah pendapatan.

“Memang i-Sinar tanpa syarat membantu golongan memerlukan untuk melangsaikan bayaran tertunggak dan sebagainya, tetapi ia hanyalah bantuan jangka pendek. Duit yang dikeluarkan boleh digunakan untuk jana pendapatan baharu.

“Seharusnya juga, kerajaan perlu memperkenalkan pakej rangsangan yang menggalakkan rakyat menggunakan duit bantuan itu untuk menambah pendapatan seperti perniagaan kecil-kecilan. Ajar rakyat bagaimana untuk memancing ikan, bukannya mengharapkan ikan percuma sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×