PERMATANG PAUH: Upah yang lumayan iaitu sekurang-kurangnya RM300 sehari dipercayai menjadi antara penyebab utama kegiatan tonto sukar dibanteras dan berleluasa hingga ke hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Adenan Md. Isa ketika mendedahkan perkara itu berkata, upah itu biasanya bergantung kepada jenis pelekat atau stiker yang digunakan oleh lori berkenaan.
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau perkembangan tersebut dan komited membanteras kegiatan itu yang selama ini banyak mengganggu serta menghalang kerja-kerja penguatkuasaan dijalankan.
Sehubungan itu, katanya, satu operasi bersepadu selama dua jam diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi yang melibatkan keseluruhan 90 anggota itu bertumpu di tujuh lokasi di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Katanya, lokasi-lokasi itu ialah susur keluar Stesen Penguatkuasa (SPK) Penaga di SPU, pintu keluar hadapan pejabat JPJ Seberang Jaya, stesen minyak Petronas berhampiran Lebuhraya BKE-Kulim, persimpangan Balai Polis Seberang Jaya, Medan Selera Singgah Sat (SPT) serta susur keluar SPK Valdor dan berhadapan sekolah Tamil di SPS.
“Dalam operasi itu, JPJ menahan tujuh lelaki dipercayai tonto berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun dengan tiga daripada mereka disahkan positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan AADK.
“Selain itu, enam buah motosikal serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut disita dalam operasi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di JPJ Seberang Jaya, di sini hari ini.
Menurut Adenan, pihaknya turut merampas tujuh peralatan komunikasi yang dipercayai tidak dilesenkan serta digunakan oleh tonto-tonto terbabit sebelum diserahkan kepada SKMM untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE