Jambatan dibina tentera legakan penduduk - Utusan Malaysia

Jambatan dibina tentera legakan penduduk

MOHD. Azmurin Mat Khalib (depan, dua dari kanan) bersalam dengan Omar Fazilah sebagai simbolik penyerahan jambatan Bailey di Kampung Belum Baru di Lenggong hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Penduduk Kampung Belum Baru di sini menarik nafas lega apabila sebuah jambatan sementara siap dibina bagi memudahkan perjalanan mereka untuk ke pekan Lenggong berbanding sebelumnya apabila terpaksa melalui jalan raya sejauh empat kilometer.

Jambatan Bailey sepanjang kira-kira 33 meter itu siap dibina oleh sepasukan anggota Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) dan dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kinta serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Lenggong.

Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Mohd. Azmurin Mat Khalib berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan itu bermula Isnin lalu yang mengambil masa kira-kira tiga hari untuk disiapkan.

Menurut beliau, pembinaan jambatan itu hanyalah sementara sehingga sebuah jambatan baharu siap dibina oleh pihak JKR dijangka pada Oktober nanti.

“Pemasangan jambatan ini bagi menghubungkan penduduk kampung dengan pekan Lenggong dan kawasan sekitar sekali gus dapat memudahkan mereka yang selama ini terpaksa melalui jalan agak jauh.

“Bantuan kerja-kerja pemasangan yang diberikan ini adalah selari dengan tonggak kelima perintah ulung Panglima Tentera Darat yang memberi penekanan terhadap peningkatan hubungan Tentera Darat dengan orang ramai ,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd. Azmurin menyempurnakan majlis penyerahan jambatan Bailey kepada Penghulu Mukim Kenering, Omar Fazilah Mohamad di Kampung Belum Baru di sini hari ini.

Sementara itu, Omar Fazilah mengucapkan terima kasih dan amat berbesar hati kepada Tentera Darat khususnya pihak 2 Briged dan warga 2 Skn RAJD kerana membantu menyiapkan jambatan yang amat diperlukan oleh penduduk kampung.

“Disebabkan tiada jalan pintas maka penduduk kampung terpaksa melalui jalan jauh untuk ke pekan Lenggong, jadi dengan siapnya jambatan ini untuk dilalui kenderaan ringan ia sangat memudahkan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya