KUALA NERUS: Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) hari ini meraikan ulang tahun ke-40 penubuhannya dengan melancarkan buku kenangan eksklusif sebagai simbolik kecemerlangan empat dekad institusi itu dalam bidang pendidikan.
Buku bertajuk The Inspiring 40 Years and Beyond itu menceritakan perkembangan Instep daripada sebuah sekolah latihan sementara pada tahun 1981 kepada pusat pembelajaran teknikal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, buku berkenaan turut mengandungi perkongsian pengalaman warganya dan aspirasi pihak pengurusan dalam usaha menyokong agenda pembangunan lestari Petronas.
Majlis pelancaran secara maya itu disempurnakan oleh Naib Presiden Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan Petronas, Farehana Hanapiah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Petronas Technical Training Sdn. Bhd., dan Ketua Pegawai Eksekutif Instep, Idris Ibrahim.
Sementara itu, Idris berkata, sehingga kini institusi berkenaan telah melahirkan lebih 130,000 tenaga kerja teknikal mahir dan profesional dalam bidang minyak dan gas dari 35 negara.
“Lulusan Instep turut berkhidmat di lebih 30 loji penapisan minyak dan petrokimia di samping lebih 100 pelantar minyak dan gas (O&G) di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Idris menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bahagian Gas dan Tenaga Baharu (GNE) Petronas yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Jay Mariyappan bagi pemasangan panel suria dengan kapasiti sekitar 1.4MW pada bangunan dan laluan berbumbung di kampus berkenaan.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha menghiijaukan dan mengurangkan pelepasan karbon di kesemua fasiliti Petronas di seluruh dunia, selari dengan komitmen ke arah sifar pelepasan karbon menjelang 2050.- UTUSAN ONLINE










