Ibu bapa akur kaedah penyuraian - Mohd. Radzi - Utusan Malaysia

Ibu bapa akur kaedah penyuraian – Mohd. Radzi

MOHD. RADZI Jidin bergambar dengan sebahagian guru terlibat proses penyuraian murid sesi pagi di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya 1, Sepang, Selangor hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Proses penyuraian murid berjalan lancar dengan sebahagian besar ibu bapa dilihat akur mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak sekolah.

Begitulah maklum balas spontan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin ketika hadir secara mengejut di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya 1, Persiaran Bestari, hari ini.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar walaupun sekolah yang saya lawat pada tengah hari ini ramai murid dengan lebih 3,000 orang dan terletak di kawasan padat penduduk,” katanya.

Beliau ditemui media semasa meninjau sekolah berkenaan selepas turut melakukan lawatan ke SK King George V, di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan pada sesi sebelah paginya.

Juga hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim dan pegawai kementerian tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, secara umum pihak kementerian memastikan kaedah penyuraian yang terbaik dengan SOP ketat untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya bersyukur kita juga dapat kerjasama persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang bantu melancarkan aliran pergerakan keluar murid dengan baik ikut giliran kelas,” jelasnya.

Justeru beliau berharap keadaan sama turut berjalan dengan lancar di seluruh negara dan ibu bapa boleh memberi pandangan kepada pihak sekolah untuk proses penambahbaikan trafik.

Ini ujarnya termasuk dengan meminta bantuan daripada pihak polis atau petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi mengawal kesesakan agar tiada perkara tidak diingini yang berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama dengan pengurusan sekolah jika diperlukan.

“Paling kita takut jika ada kemalangan akibat kereta bergerak laju dan hari ini pun, saya minta ketua polis balai Cyberjaya dengan enam anggota selain dari pasukan trafik datang,” katanya.

Beberapa buah kereta peronda dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang juga hadir memastikan kelancaran lalu lintas depan sekolah.

Beliau menambah, proses pemantauan turut dilakukan pada sebelah petang selepas habis waktu sesi persekolahan dan langkah itu akan berterusan sehingga keadaan kembali reda.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya