Harapan bakal jemaah haji, umrah jejak kaki ke Mekah tahun ini - Utusan Malaysia

Harapan bakal jemaah haji, umrah jejak kaki ke Mekah tahun ini

GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 1,000 bakal jemaah haji yang sepatutnya menunaikan ibadah itu tahun lalu menaruh harapan kerajaan Arab Saudi dapat membenarkan mereka menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Begitu juga umrah, ramai umat Islam negara ini tidak sabar menunggu khabar gembira dari Arab Saudi.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, syarikat itu sudah mempunyai 700 hingga 1,000 jemaah yang sudah mendapat giliran tetapi masih menunggu untuk mengerjakan ibadah haji.
“Kita juga ada puluhan ribu lagi yang menunggu masa untuk mendaftar menunaikan umrah ataupun haji,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan kuota haji dan umrah dari Arab Saudi serta berharap lawatan kerja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi ketika ini akan membawa khabar gembira.
Md. Daud turut meluahkan kebimbangan terhadap industri pelancongan dan syarikat-syarikat perkhidmatan haji dan umrah lain yang tidak dapat berfungsi lebih setahun akibat Covid-19.
“Secara anggarannya, Andalusia sendiri menanggung rugi RM20 juta tetapi ini adalah untuk mengerjakan haji sahaja.
“Bagi pakej umrah pula, sebelum Covid-19, kami pernah membawa lebih 35,000 bakal jemaah umrah dengan keuntungan daripada kos penginapan serta penerbangan sebanyak RM5.6 juta dalam setahun,” katanya.
Md. Daud berharap bakal jemaah haji dan umrah terus sabar menunggu kerana jika mereka membatalkan niat itu, peluang mereka untuk menunaikan ibadat tersebut menjadi lebih lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN