KUALA TERENGGANU: Berapa lama mampu bertahan? Itu persoalan berhubung sejauh mana habitat penyu dapat bertahan terutama di negeri ini yang menjadi tumpuan reptilia marin tersebut mendarat.
Ini kerana lokasi pendaratannya diancam hakisan selain dibelenggu aktiviti penyu ‘terbang’ atau mencuri telur, pelancongan, pencemaran plastik dan terperangkap dalam pukat.
Fenomena hakisan pantai yang menjadi masalah utama kepada keadaan tersebut menyaksikan sekurang-kurangnya enam lokasi pendaratan penyu terjejas termasuk satu daripadanya dikenal pasti kritikal.
Kajian Unit Penyelidikan Penyu (Seatru), Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Jabatan Perikanan dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) mendapati, hakisan kritikal berlaku di Geliga, Kemaman dekat sini yang merupakan kawasan pendaratan penyu tertinggi di negeri ini.
Fenomena alam itu menyebabkan penghasilan telur penyu di lokasi berkenaan merosot kepada lebih 7,500 biji sepanjang musim bertelur dari April hingga Ogos, tahun lalu.
Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan, hanya 172,831 telur penyu daripada spesies itu dihasilkan di Geliga pada 2020 berbanding 180,399 telur yang direkodkan tahun sebelumnya.
Turut berdepan nasib sama ialah di Kuala Dungun dengan kali terakhir cuma tiga sarang penyu agar ditemukan pada 2019 dan lebih membimbangkan apabila hidupan marin itu dikesan ‘merajuk’ sejak 2013.
Empat lokasi lain yang terlibat ialah Cakar Hutan dan Ma’ Daerah, masing-masing di Kemaman diikuti Rhu Kudung (Dungun) dan Telaga Papan (Setiu).
Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, hakisan bukan sahaja mengakibatkan kawasan pantai yang dahulunya landai menjadi bercerun bahkan gumuk pasir turut terhakis sehingga ketinggian dua meter.
Beliau yang juga pakar hakisan berkata, keadaan itu menyukarkan penyu atau tuntung laut mendaki membuat sarang dan akhirnya merencatkan proses bertelur.
Katanya, kajian Kesan Perubahan Morfodinamik Pantai ke atas Kawasan Pendaratan Penyu bermula hujung tahun lalu menemukan hakisan kritikal di dua lokasi di Geliga kerana kedudukannya hampir dengan ekosistem dan pembangunan.
“Hakisan dan penimbunan pasir yang tinggi mengubah proses semulajadi pantai secara tidak langsung mengganggu pendaratan penyu.
“Penyu adalah haiwan yang sangat sensitif bukan sahaja dari segi hakisan dan gangguan manusia, bahkan perubahan pantai yang makin panjang turut mempengaruhi pendaratan hidupan marin itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini










