Gerakkan jentera dekati pengundi selepas Perhimpunan Agung UMNO selesai - Utusan Malaysia

Gerakkan jentera dekati pengundi selepas Perhimpunan Agung UMNO selesai

MOHD. Yussof Latiff merasmikan pelancaran buletin Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) sempena sambutan ulangtahun Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) YANG KE-94 yang dijalankan di jalan Pemenang, Georgetown semasa sidang akhbar dijalankan hari ini. -UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jentera UMNO di seluruh negara mesti digerakkan untuk mendekati pengundi sebaik sahaja Perhimpuan Agung UMNO selesai esok sebagai persediaan awal parti itu berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, kekuatan jentera UMNO merupakan satu kelebihan yang perlu digunakan dengan sebaik-baiknya supaya pengundi kembali yakin terhadap parti itu.

“Ketika Perhimpunan Agung UMNO berlangsung, ahli-ahli selalunya lebih bersemangat dan sewajarnya semangat itu diterjemah melalu pergerakan jentera parti.

“Jentera parti UMNO perlu bergerak awal dan saya fikir selepas perhimpunan berlangsung adalah waktu paling sesuai memandangkan ahli telah mengetahui apa hala tuju dan ketetapan parti ketika PRU-15 nanti,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pemenang, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Yussof melancarkan buletin sulung Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang diterbitkan sempena sambutan ulang tahun ke-94 penubuhan Pemenang.

Buat pertama kalinya, Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ekoran pandemik Covid-19.

Perhimpunan itu berlangsung selama dua hari dengan Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri parti diadakan hari ini manakala
Perasmian Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan esok.

Menurut Mohd. Yussof, Perhimpunan Agung UMNO merupakan pentas yang sesuai untuk kepimpinan parti itu menyatakan secara tegas kepada ahli mengenai hala tuju UMNO ketika PRU-15 kelak.

“Perhimpunan ini boleh menjadi penentu sama ada UMNO mahu bergerak secara solo atau bergabung dengan parti-parti lain,” katanya.

Tambah beliau, UMNO tidak mempunyai masalah sama ada mahu bergerak secara solo kerana mempunyai kekuatan akar umbi sendiri.

“Bergabung atau bergerak solo tidak menjadi masalah kepada UMNO asalkan perpaduan Melayu menjadi keutamaan parti.

“Semuanya bergantung kepada keputusan dan suara akar umbi, apa yang penting UMNO perlu bersedia daripada sekarang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN