GEORGETOWN: Gerakan Pulau Pinang berharap dapat mengelak pertandingan tiga penjuru dengan mana-mana parti khususnya MCA di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pertembungan dengan calon MCA tidak memberi kelebihan kepada kedua-dua parti apatah lagi di kerusi negeri ini yang mana pengaruh DAP masih kuat.
Ujarnya, meskipun pertandingan tiga penjuru dilihat mustahil untuk dielakkan apatah lagi Gerakan kini sudah menyertai Perikatan Nasional (PN), beliau menjangkakan masih ada ruang untuk parti pembangkang di negeri ini mencapai kesepakatan untuk hanya menentang DAP.
“Jika MCA dan Gerakan bertanding di kerusi sama, ibaratnya calon DAP pada PRU-15 nanti tidak perlu berbuat apa-apa, tidak perlu kempen dan tidak perlu turun padang kerana sudah pasti menang.
“Sebab itu saya harap ada persefahaman lain antara Gerakan dan MCA iaitu untuk merampas kerusi DAP sekali gus mengelak pertembungan sesama sendiri (pembangkang),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Gerakan sebelum ini mengumumkan menyertai PN dan di peringkat Pulau Pinang, parti itu juga sudah menyertai mesyuarat dengan komponen parti PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Pas awal bulan lalu.
Bagaimanapun, dengan keputusan UMNO yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan bersedia menentang calon PN pada PRU-15, MCA yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) juga dilihat akan menentang calon Gerakan di kerusi majoriti bukan Melayu di negeri ini.
Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan berharap parti pembangkang di negeri ini khususnya MCA melihat PRU-15 dalam konteks lebih besar iaitu mengurangkan pengaruh DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketika ini, ujar beliau, wakil pembangkang di DUN Pulau Pinang terlalu sedikit dan tidak seimbang sekali gus kurang berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Apatah lagi, katanya, suara wakil rakyat pembangkang yang mewakili kaum bukan Melayu juga langsung tiada apabila kesemua kerusi majoriti Cina dimenangi DAP.
“Sedangkan dalam masa sama banyak isu di bawah pentadbiran kerajaan negeri seperti perumahan, alam sekitar, ekonomi dan sebagainya yang tidak memihak kepada rakyat perlu dibangkitkan,” katanya.
Dalam perkembanhan sama, beliau memaklumkan, Gerakan negeri ketika ini juga sudah melantik jurucakap parti di setiap kawasan DUN dan Parlimen sebagai persediaan mendepani PRU-15.
Tambahnya, kesemua jurucakap Gerakan itu yang juga berpotensi sebagai calon parti tersebut dalam PRU-15 sudah mula turun padang dan bertemu penduduk bagi menyelesaikan isu-isu dihadapi mereka.
“Sekiranya berlaku PRU-15 dalam masa terdekat seperti disebut-sebut banyak pihak tahun ini, Gerakan Pulau Pinang sudah bersedia dengan senarai calon kita.
“Selebihnya seperti soal pembahagian kerusi antara parti komponen PN, itu kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










