Dua beradik warganegara Syria mengaku tidak bersalah rasuah anggota JIM - Utusan Malaysia

Dua beradik warganegara Syria mengaku tidak bersalah rasuah anggota JIM

ALI Esmail Hamed (kiri) bersama adiknya, Alaa Esmail Hamid yang dituduh memberi rasuah kepada anggota JIM di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua beradik warganegara Syria dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada seorang anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tahun lalu.

Tertuduh, Ali Esmail Hamed, 38 dan adiknya, Alaa Esmail Hamed, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Murtazadi Amran.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12.50 pagi, 22 Januari 2020 di Restoran Yasmeen Express milik Ali yang terletak di Pantai Chenang, Langkawi.

Rasuah itu didakwa diberikan sebagai dorongan kepada anggota JIM tersebut yang berjawatan Penolong Pegawai Imigresen KP29, untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pekerja mereka yang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kuldeep Singh Gill.

Mahkamah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula.

Kedua-dua mereka dibenarkan diikat jamin berjumlah RM15,000 dengan dua orang penjamin, warganegara tempatan, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama, setiap bulan.

Pasangan adik-beradik itu dalam masa sama turut perlu menyerahkan dokumen perjalanan masing-masing kepada mahkamah dan difahamkan kedua-duanya membayar ikat jamin ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya