Datuk Seri Nicky belum ditangkap - Ayob Khan - Utusan Malaysia

Datuk Seri Nicky belum ditangkap – Ayob Khan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan bahawa Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, sudah ditahan polis.

Beliau membuat penafian itu selepas laporan sebuah portal tempatan membabitkan penangkapan individu berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu, Ayob Khan menjawab persoalan berkenaan secara ringkas.

“Belum lagi (ditangkap), ya (laporan itu tidak benar),” katanya kepada pemberita.

Portal berkenaan mendakwa suspek ditahan di sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas usaha pencarian dijalankan polis selama 18 jam.

Sebelum ini, Ayob Khan dalam satu sidang akhbar Ahad lalu memberitahu, pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Ia susulan Polis Johor telah mengadakan operasi dengan melakukan serbuan di Puchong, Sabtu lalu dan menahan 12 individu termasuk seorang lagi individu yang berpangkat Datuk Seri.

Kata Ayob Khan, sindiket itu besar dan banyak melibatkan penipuan dan scam selain suspek berpengaruh dan mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguat kuasa.

Dalam sidang akhbar sama, beliau turut percaya ahli perniagaan itu masih berada di Puchong dan akan terus menjalankan usaha bagi menjejakinya.

Soon Hee sebelum ini pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sedang bertugas di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, empat tahun lalu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya