Bayi perlu RM90,000 rawat jantung bermasalah - Utusan Malaysia

Bayi perlu RM90,000 rawat jantung bermasalah

MOHD. Iskandar Mohamad Syaimi yang berusia setahun memerlukan dana sehingga RM90,000 untuk pembedahan berkaitan jantung yang dideritainya sejak lahir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sejak lahir, dunia Mohd. Iskandar Mohamad Syaimi hanyalah hospital kerana bayi itu perlu bergantung kepada alat pernafasan hampir setiap masa kerana mempunyai masalah jantung.

Mohd. Iskandar juga perlu mendapatkan rawatan secara berkala di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU).

Lebih memeritkan, anak bongsu daripada lima beradik itu kini memerlukan dana RM90,000 untuk menjalani pembedahan pembaikan jantung berlubang (AVSD), saluran jantung sempit serta masalah jantung lain.

Bagaimanapun, pendapatan bapanya, Mohamad Syaimi Abdul Rahim, 46, sebagai seorang operator kilang RM1,360 sebulan tidak mencukupi manakala isterinya, Robiah Saad, 42, hanya suri rumah sepenuh masa.

Menurut Mohamad Syaimi, sepanjang masa anak bongsunya itu hanya berbaring dengan mampu mengerakkan kaki serta tangan.

“Jika menangis pun tiada suara,” katanya di sini semalam.

Kisah keluarga berkenaan mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity and Welfare selepas pasangan tersebut mengadu nasib mereka, baru-baru ini.

Pengerusinya, Chua Sui Hui berkata, selepas meneliti permohonan untuk mendapatkan bantuan, mereka melancarkan kutipan menerusi tabung khas bagi mengumpul dana untuk Mohd. Iskandar.

Orang ramai boleh membantu menyalurkan sumbangan melalui akaun Public Bank Berhad milik One Hope Charity & Welfare di nombor 3193433435 atau menghubungi talian 016-4192192 atau 019-2322192 untuk tujuan sama.

Selain itu, untuk maklumat lanjut, mereka boleh mengunakan aplikasi One Hope Charity atau melayani laman sesawang www.onehopecharity.org. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN